Campuran Maut Kopi Pacak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Harian Metro

Penggemar minuman kopi kesihatan dinasihatkan berwaspada berikutan muncul sejenis lagi produk kopi campuran maut yang dikesan sengaja dicampur serbuk kimia berbahaya yang didakwa mampu merangsang syahwat lelaki dalam tempoh kurang 10 minit.

Kopi campuran yang turut dikenali sebagai ‘kopi pacak’ berkenaan dikesan dikilangkan sebuah syarikat untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Sumber bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kewujudan produk terbabit yang boleh mengancam nyawa pengguna berjaya dikesan selepas pihaknya menjalankan pemantauan terhadap beberapa produk kopi yang berada di pasaran.

Hasil daripada ujian kimia yang dijalankan, pihak farmasi mengesan aktiviti kilang pengeluar itu yang secara rahsia mencampurkan bahan kimia berbahaya dipercayai sintetik sildenafil nitrat ke dalam serbuk kopi.

“Serbuk kopi campuran berkenaan yang siap diproses itu kemudian akan dimasukkan ke dalam beberapa bungkusan dengan label berbeza sebelum dijual kepada beberapa syarikat pengedar.

“Produk kopi ‘maut’ berkenaan mudah dikenal pasti berikutan syarikat pengedar cuba menarik perhatian pelanggan dengan mendakwa ia berupaya meningkatkan keupayaan seksual lelaki,” katanya.

Selain itu , harga kopi istimewa berkenaan yang terlalu mahal berbanding produk sama di pasaran turut menjadi petunjuk mudah bagi mengesan sama ada ia dicampurkan dengan kimia sildenafil berkenaan.

“Taktik berkenaan sudah kerap kali diguna pakai beberapa sindiket haram yang cuba mengaut keuntungan besar hasil penjualan produk kopi yang dicampurkan kimia sildenafil. Kes seumpama ini sudah mula dikesan sejak lima tahun kebelakangan ini,” katanya.

Menurutnya, susulan pembongkaran aktiviti kilang berkenaan, pihaknya bertindak menjalankan serbuan di sebuah syarikat pengedar di sini, yang dikesan menjual produk kopi keluaran kilang berkenaan.

“Seramai lebih 10 pegawai penguat kuasa farmasi KKM yang menjalankan pemeriksaan kemudian berjaya menemui lebih 20 kotak produk kopi berkenaan.

“Siasatan turut mendapati kopi campuran terbabit yang didakwa dicampurkan dengan Tongkat Ali dan ginseng itu dieksport ke luar negara oleh pemiliknya seorang lelaki warga asing,” katanya.

Menurutnya, lelaki berusia awal 30-an itu bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui produk kopi edarannya itu mengandungi kimia sildenafil yang diharamkan penggunaannya oleh KKM.

“Lelaki berkenaan bagaimanapun akan disiasat mengikut Akta Racun 1957 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau dua tahun penjara,” katanya.

Menurutnya, apa yang membimbangkan pengguna yang mengambil kopi yang dicampur sebatian sildenafil menghadapi risiko maut.

“Ia amat berbahaya, terutama kepada mereka yang menghidapi darah tinggi, sakit jantung dan kandungan lemak tinggi dalam badan. Produk mengandungi kimia itu sangat berbahaya kerana tekanan darah boleh menjadi terlalu rendah.

“Selain itu, boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit kepala, gangguan perut dan penglihatan serta sakit otot. Malah, ia mampu merebak kepada penyakit hati dan buta,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Lagi Artikel Menarik, Sila Klik Disini

No Comments

Comments are closed.