Diskaun Beli Perempuan Khidmat Seks

Kebiasaannya, beli barang dapat diskaun, tetapi kini ‘beli orang’ turut ditawarkan diskaun. Itu taktik sindiket pelacuran yang berselindung di sebalik pusat spa di hotel bagi memancing lelaki hidung belang melanggan pelacur.

Malah, dengan menggunakan taktik itu, sindiket terbabit umpama melancarkan ‘perang harga’ antara satu sama lain apabila cuba memberi harga terendah kepada pelanggan.

Menurut pelanggan tetap spa terbabit, antara taktik digunakan bagi mempromosi tawaran harga murah yang diberi adalah dengan menyebarkan risalah.

Metro Ahad yang memperoleh risalah itu mendapati ada sindiket sanggup memberi diskaun sehingga 40 peratus. Dengan menggunakan ayat ‘promosi gila-gila’ (crazy promotion), tiga pusat spa ditawarkan sekali gus dan secara terang-terangan menyediakan khidmat seks menerusi penggunaan perkataan urut dan servis (massage & services).

Tinjauan mendapati, tiga pusat spa berkenaan menawarkan harga antara RM158 hingga RM188 berbanding RM200 hingga RM250 sebelum diskaun untuk khidmat selama 45 minit. Kebanyakan pelacur yang ditawarkan adalah dari China, Indonesia dan Vietnam.

Seorang pekerja pusat spa dikenali sebagai Alex berkata, tawaran harga murah jarang dibuat, tetapi memandangkan pelanggan semakin berkurangan, diskaun terpaksa diberi.

“Sekarang susah mahu dapat ‘customer’ (pelanggan). Customer kata RM200 hingga RM250 mahal. Sekarang ramai orang kurang wang, sebab itu kita kena bagi diskaun,” katanya.

Menurut Alex, saingan daripada pusat spa dan rumah urut di kawasan berhampiran premisnya juga menjadi faktor mereka menurunkan harga bagaikan durian runtuh.

“Dulu, tidak banyak spa yang ada ‘perempuan’. Customer pun tidak banyak pilihan, tapi sekarang keadaan banyak berubah.

“Jangan kata spa dan rumah urut, malah hotel tertentu, walaupun sebenarnya tidak ada pusat spa, turut tawarkan perempuan. Mahu tidak mahu, kami terpaksa bagi diskaun gila-gila,” katanya.

Sementara itu, pekerja spa sebuah hotel, sekadar dikenali sebagai Edy, ketika dihubungi melalui telefon berkata, mereka bukan saja terpaksa bersaing harga, malah terpaksa akur dengan premis spa lain yang menawarkan gadis bawah umur kepada pelanggan.

Lantaran itu, katanya, ada spa yang tiada ‘stok’ gadis belasan tahun terpaksa menurunkan harga serendah mungkin kerana takut kehilangan pelanggan.

“Kalau spa lain letak harga RM168 bagi perempuan muda, kami terpaksa turun harga lagi. Apalagi kalau ‘perempuan’ berusia lewat 20-an, harga lagi murah.

“Sebab itu, jangan terkejut kalau ada spa yang terima bayaran serendah RM148 bagi langganan sejam,” katanya.

Menurutnya, pelbagai taktik turut dilakukan bagi menambat hati pelanggan, selain tawaran seks.

“Kami tawar pakej ekstra. Sebelum berasmara, pelanggan terlebih dulu mendapat khidmat urut atau melakukan sebaliknya. Bukan itu saja, pelanggan boleh suruh gadis urut yang mereka langgan itu melakukan apa saja,” katanya.

Pengusaha spa terbabit yang menawarkan potongan harga gila-gila kepada pelanggan mengakui, tindakan itu menyebabkan keuntungan mereka berkurangan, namun menyifatkan itu lebih baik berbanding kerugian atau tidak untung langsung kerana ketiadaan pelanggan.

“Kami menawarkan harga serendah RM148 dan kami rasa itu harga paling murah dalam pasaran. Untuk RM148, kita bagi perempuan Indonesia. Kita juga ada perempuan dari China, Thailand, Vietnam dan Myanmar. Semua perempuan itu kita bagi harga RM168 saja. Semua stok baru,” katanya.

Mengejutkan apabila pekerja pusat spa itu memanggil pelacur mereka, ada antaranya didakwa berusia semuda 16 tahun. Mereka disuruh beratur di depan pelanggan untuk dipilih.

Pekerja pusat spa itu mendakwa tawaran harga dikenakan pihaknya adalah yang termurah walaupun menggunakan wanita yang harga semasa dikenakan antara RM200 hingga RM250.

“Sekarang pusat spa seperti kami tak boleh letak harga tinggi. Kalau letak harga tinggi, tak ada ‘customer’. Awak pergilah tanya spa lain. Mereka sudah bagi diskaun, tetapi tak boleh lawan harga kami,” katanya.

Dalam pada itu, pemantauan Metro Ahad menerusi sebuah laman web yang menyenaraikan lokasi untuk melanggan pelacur di spa hotel mendapati, lebih 25 pusat spa menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Beberapa pusat spa yang dianggap eksklusif masih mengenakan harga antara RM200 hingga RM250, manakala ‘pusat spa biasa’ sudah mula menurunkan harga.

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Lagi Artikel Menarik, Sila Klik Disini

1 Comment so far

  1. [...] See the original post here: Diskaun Beli Perempuan Khidmat Seks [...]