Pening, Sakit Kepala Ketika Ejakulasi

SAYA berkahwin selama 13 tahun dan biasanya melakukan hubungan seks dua atau tiga kali seminggu.

Sejak akhir-akhir ini saya kerap mengalami pening dan sakit kepala setiap kali bersetubuh terutama ketika ejakulasi.

Ia membimbangkan saya kerana sebelum ini ia tidak pernah berlaku. – ROSLI | Batu Gajah, Perak.

PENING atau sakit kepala ketika klimaks sebenarnya jarang berlaku. Malah, jika berlaku pun ia jarang berulang.

Ia mungkin petanda awal anda menghadapi masalah kesihatan seperti penyakit darah tinggi atau petanda amalan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, berat badan berlebihan dan tidak melakukan aktiviti fizikal.

Masalah itu kerap berlaku kepada lelaki berbanding wanita dengan nisbah 4 : 1. Jika berlaku ia boleh memberi tekanan kepada hubungan intim.

Cara bijak menghadapinya ialah menjalani pemeriksaan kesihatan. Jika terdapat sesuatu yang luar biasa dan rawatan diberi, kemungkinan pening kepala ketika ejakulasi itu akan berkurangan.

Kadang kala ia berlaku akibat kesinambungan pening kepala biasa. Biasanya ia akan berkurangan dalam masa yang singkat dan jarang berlarutan untuk beberapa jam, tetapi ada juga yang berlarutan sehingga beberapa hari.

Ia juga mungkin disebabkan masalah pendarahan dalam otak. Bagaimanapun jika anda bimbang mengenainya, anda boleh melakukan ujian imbasan otak.

Bagaimanapun, janganlah masalah itu menjadi penghalang untuk anda menunaikan kewajipan terhadap isteri. Sila jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengenal pasti tahap kesihatan anda.

Gagal Bertahan Lama Ketika Bersama

SAYA berusia 44 tahun dan mempunyai lima anak. Masalahnya zakar saya hanya mampu menegang kira-kira seminit setiap kali melakukan persetubuhan bersama isteri.

Ia sudah berlarutan selama lapan bulan.Saya pernah mengambil pil viagra 50 mg dan 100 mg, tetapi tidak memberi kesan.

Ketika bersetubuh, saya akan mengepit kedua-dua belah kaki dan barulah zakar dapat mengekalkan ketegangan dan mencapai ejakulasi.

Apakah cara berkesan menyelesaikan masalah ini? – SIDIK | Kluang, Johor.

KETEGANGAN zakar berlaku akibat pengaliran darah ke ruang otot zakar. Kadang kala kemasukan darah tidak mencukupi menjadikan otot zakar tidak mencapai ketegangan yang dikehendaki.

Keadaan ini dikenali sebagai keciciran darah daripada otot zakar atau ‘venous leakage’. Inilah yang mungkin berlaku kepada anda.

Cara mengepit paha untuk mengekalkan ketegangan seberapa lama yang boleh supaya anda dapat mencapai kepuasan ialah cara yang dapat mengawal darah dalam otot zakar.

Jika anda bergerak sedikit atau mengubah posisi, pengaliran darah akan berkurangan dan zakar akan kendur tanpa sempat menghabiskan persetubuhan.

Cara untuk mengatasi masalah ‘venous leakage’ ialah menggunakan alat penambat zakar seperti cincin zakar atau ‘penile ring’.

Ia boleh disarung ke pangkal zakar sewaktu menegang supaya ketegangan dapat dikekalkan.

Ubat untuk melancarkan pengaliran darah dalam zakar seperti viagra, levitra atau cialis berkesan untuk mencapai ketegangan, tetapi ia tidak mengekalkan darah dalam otot zakar dan kemungkinan darah tercicir keluar dari otot.

Jika gagal mengekalkan ketegangan selepas memakainya, anda boleh gunakan dua atau tiga cincin berkenaan.

Senaman kegel atau kemutan juga menambah ketegangan zakar dan dibantu cincin penambat. Jika masih gagal juga, jumpa doktor pakar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Next Page »