4 Tahun Kahwin Tak Rasa Nikmat

SAYA berusia 31 tahun dan sudah empat tahun berkahwin. Saya menghadapi masalah tidak merasai nikmat bersetubuh.

Setiap kali mengadakan persetubuhan dengan isteri, saya tidak merasai keseronokan atau kepuasan walaupun dalam keadaan ghairah malah kesakitan.

Akibatnya, zakar mengendur dan tidak mampu mengeluarkan mani. Sejak berkahwin, air mani tidak pernah keluar. - LELAKI MALANG | Johor.

PUSAT kawalan ejakulasi air mani dalam sistem ejakulasi terletak pada urat saraf di tulang belakang. Proses ejakulasi tercetus dari otak akibat tindak balas rangsangan seksual dan air mani yang terkumpul dalam penghujung salur sperma akan terpancut otot sistem pancutan apabila lelaki klimaks.

Pancutan air mani atau ejakulasi ialah kemuncak rangsangan seksual dan ia dikawal urat saraf dan hormon testosterone. Jika urat saraf terganggu, pancutan air mani tidak berlaku.

Masalah seperti keradangan urat saraf akibat penyakit kencing manis dan ‘multiple sclerosis’ ialah antara penyakit kepada masalah itu. Tekanan mental juga boleh menyebabkan kegagalan ejakulasi selain kekurangan hormon testosterone yang berlaku kepada lelaki berumur.

Bagaimanapun sebahagian besar masalah kegagalan ejakulasi tidak dapat dikesan. Ada yang diberi rawatan dengan mengambil vitamin B1, B6 dan B12 serta ubat untuk memantapkan tindak balas urat saraf.

Alat getaran atau ejakulator dapat membantu. Ia membabitkan proses pengumpulan air mani untuk disalurkan ke faraj pasangan bagi kehamilan.

Ada juga lelaki mendapat kenikmatan ketika tidur (mimpi basah) tetapi tidak ketika bersetubuh atau onani. Ada juga lelaki yang ketagih dengan amalan onani hanya boleh mencapai ejakulasi melalui amalan itu.

Kehamilan boleh terjadi jika air mani dapat dikumpul melalui onani dan menyalurkan ke faraj pasangan untuk kehamilan.

Apabila sesuatu hubungan seksual itu mendatangkan tekanan kepada satu pasangan seperti si suami tidak dapat mencapai ejakulasi, isteri juga tidak akan merasai nikmat bersetubuh.

Saya nasihatkan anda dan isteri berjumpa doktor yang mahir bagi mengelak masalah ini berpanjangan.

Seksual Menurun Pada Usia Emas

ADAKAH apabila usia meningkat 60 tahun tahap seksual menurun. Adakah sebarang ubat untuk memulihkan tenaga seksual lelaki?

UMUR memainkan peranan dari segi kemampuan seksual. Bagaimanapun, jika tahap kesihatan individu itu baik dan mengamalkan gaya hidup sihat, dia akan melakukan aktiviti seksual dengan pasangan walaupun dalam usia emas.

Apabila seseorang lelaki mencecah 40 tahun, dia perlu mengambil berat mengenai kesihatannya bagi mengelak penyakit kronik (penyakit keturunan) seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung yang mempengaruhi kesihatan seksual dan punca lemah tenaga batin.

Kajian mendapati 40 peratus lelaki mengalami lemah tenaga batin dalam usia 40 tahun manakala 60 peratus apabila berusia 60 tahun.

Rawatan sedia ada termasuk ubat seperti Viagra, Cialis atau Levitra yang boleh diberi doktor atau menggunakan pam vakum dan suntikan ubat pengembang otot zakar seperti Caverjet. Bagaimanapun, rawatan itu tidak mungkin dapat mengembalikan kemampuan syahwat seperti berusia 20-an.

Next Page »