Kencing tak lawas

SAYA mengalami masalah kencing tidak lawas. Masalah ini menyukarkan saya terutama ketika mengerjakan solat. Setiap kali selepas solat saya mendapati masih ada lagi air kencing pada permukaan kepala zakar.

Saya juga mengalami kegatalan terutama pada bahagian celah paha. Kegatalan itu juga menyebabkan berlaku tanda hitam di celah paha.

MANLUK | Raub, Pahang.

RASA hendak membuang air kecil berlaku apabila pundi kencing yang mengumpul air dalam keadaan padat. Mesej dari pundi kencing akan sampai ke pusat kawalan di otak seterusnya tindak balas dari otak akan ke pundi kencing semula dan pundi kencing akan melepaskan air kencing menerusi zakar.

Jika mesej untuk mengekalkan air kencing, maka pundi kencing akan mengawal air kencing sehingga satu waktu tertentu apabila pundi kencing amat padat, air kencing akan keluar.

Jarang berlaku pintu pengeluaran air kencing longgar. Jika itu berlaku air kencing akan sentiasa meleleh keluar. Apabila pintu tertutup, kemungkinan air kencing tercicir itu tiada.

Kulit di sekitar anggota sulit serta kulit di celah kelangkang ialah jenis kulit yang lembut dan sentiasa licin dengan bahan pelembap kulit semula jadi. Jika bahan pelembap itu kurang maka kulit menjadi kering dan terasa gatal. Jika digaru, kulit akan melecet dan boleh terdedah kepada kuman dan kulat.

Mustahak kulit bahagian itu sentiasa lembap dengan pelembap semula jadi atau disapu dengan losyen pelembap supaya tidak kering dan gatal.

Alat sulit gatal

ADA ketulan kecil pada buah zakar saya yang menyebabkan kegatalan pada bahagian itu dan kawasan sekitarnya. Ia semakin ketara terutama pada waktu malam serta keadaan lembap dan panas.

Kekerapan menggaru membuatkan ia luka sehingga terasa pedih. Apakah punca masalah ini dan apa rawatan atau ubat yang sesuai?

LAMIN | Serdang, Selangor.

KULIT anggota sulit lelaki dan perempuan adalah jenis halus dan lembut serta tidak mudah kering kerana dilapisi pelembap kulit semula jadi. Selain faktor itu, kehadiran bulu roma juga membuatkan kulit bahagian itu sentiasa lembap dan selesa.

Apabila bahan pelembap kurang atau lapisan pelembap hilang akibat mencuci dengan sabun kosmetik, maka kulit bahagian itu akan menjadi kering, licin dan gatal. Kemudian jika kerap digaru kulit akan melecet serta luka dan terdedah kepada jangkitan.

Jika bulu roma dicukur, kulit akan terdedah tanpa pelindung yang mengawal bahan pelembap semula jadi. Jika kering, ia akan terasa gatal dan jika digaru keradangan kulit berlaku dan salur pundi pelembap semula jadi ‘sebaceous’ akan terkandas. Pundi berkenaan pula akan mengeras dan timbul serta kelihatan seperti jerawat.

Jika ada jangkitan, pundi akan membesar dan boleh pecah serta mengeluarkan cecair yang berbau busuk. Pundi yang pecah itu dikenali sebagai ‘wen’.

Sila berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sewajarnya. Mencuba segala ubat tanpa diperiksa doktor bukan cara yang bijak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

« Previous Page